Pernikahan Aziz - Nor Radhiah tidak sah

Monday, February 09, 2009

Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan perkahwinan pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M. Osman dengan Nor Radhiah Ramli tahun lalu sebagai batal dan tidak sah menurut hukum syarak.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya berkata, keputusan tersebut dibuat kerana semasa melangsungkan perkahwinan, wanita itu masih dalam idah dengan suami pertama, Engku Ahmad Hisham Engku Abdullah.

Berikutan itu, Nor Radhiah diwajibkan beridah dengan idah tiga kali suci dalam iddah ba-in sughra mulai hari ini.

"Saya juga mensabitkan telah berlakunya persetubuhan subahat (persetubuhan yang dilakukan atas anggapan sah akad nikah tetapi tidak sah) antara Radhiah dengan Aziz dalam masa pemohon beridah dengan idah tiga kali suci bagi perkahwinan pertamanya yang tidak sah dengan Engku Ahmad Hisham," katanya.

Ismail membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan Nor Radhiah yang memohon mahkamah memutuskan sah atau tidak akad nikahnya dengan Aziz tahun lalu.

Pada 23 November tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah memutuskan memindahkan kes permohonan pengesahan pernikahan Aziz ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ekoran kes perkahwinan kedua Aziz dengan isterinya itu mendapat liputan meluas media sehingga menjadi perhatian pelbagai pihak.

Semasa hakim membuat keputusan hari ini, Aziz yang diwakili peguam syarie, Amli Embong selaku responden kelihatan berada di luar mahkamah bersama ahli keluarga.

Nor Radhiah pula selaku pemohon dalam kes ini yang berasal dari Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu kelihatan tenang semasa hakim membaca keputusan penghakiman.

Ismail menjelaskan, akad nikah yang dilakukan wali bapa Nor Radhiah iaitu Ramli Yusof di Masjid Padang Nanas, Kuala Terengganu pada 16 Ogos 2008 adalah tidak sah.

Beliau berkata, ini kerana semasa akad nikah berlangsung, wanita tersebut beridah tiga kali suci dengan perkahwinan pertamanya.

Katanya, oleh kerana pemohon adalah seorang yang berhaid, mengikut kehendak hukum syarak, idah yang diwajibkan ialah idah suci.

"Sebagai akibat daripada adanya sabitan persetubuhan subahat dan perintah firaq ke atas akad nikah perkahwinannya yang tidak sah, saya berpuas hati bahawa Radhiah wajib beridah dengan idah suci dalam ba- in sughra mulai hari ini.

"Dengan kedudukan ini, bermakna mulai 28 Julai 2008, Radhiah tidak boleh melangsungkan sebarang akad nikah perkahwinan dengan mana-mana lelaki selain dengan suami terdahulu, Engku Ahmad Hisham sehingga tamat tempoh idah sucinya.

"Dalam persoalan ini, tamatnya tempoh idah Radhiah adalah dikira tatkala datangnya kitaran haid selepas suci kali ketiga daripada tarikh 28 Julai 2008," katanya.

Mengenai persoalan apakah mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut, Ismail berkata, isu bidang kuasa seseorang hakim atau mahkamah bukan sekadar merupakan suatu ketentuan mengikut undang-undang tetapi ia membabitkan penghakiman mengikut hukum syarak.

Katanya, berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang yang ada, adalah didapati Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Mengenai status perkahwinan antara Aziz dengan Radhiah yang dilakukan oleh wali bapa kepada pemohon sah atau tidak, beliau berkata, pihaknya berpuas hati bahawa lafaz ijab akad nikah perkahwinan mereka disempurnakan oleh wali bapa manakala lafaz qabul pula oleh Aziz.

Katanya, lafaz ijab kali ketiga dituruti lafaz qabul, terus diiktibar.

"Saya berpuas hati bahawa syarat kepada lafaz ijab, yang merupakan komponen dalam rukun nikah pertama, semasa wali bapa melafazkan lafaz ijab, telah pun dipenuhi, ia dilaksanakan sendiri oleh responden sebagai pengantin lelaki.

"Saya juga berpuas hati mengenai pelaksanaan lafaz qabul dalam akad nikah perkahwinan ini, oleh yang demikian, saya berpuas hati bahawa rukun nikah pertama iaitu sighah telah dilaksanakan dengan menepati Hukum Syarak," katanya.

Mengenai pengakuan Radhiah bahawa beliau adalah seorang anak dara dan tidak menjadi isteri sesiapa dan tidak di dalam idah sesiapa, sebelum mereka melangsungkan perkahwinan, Ismail berkata, mereka melakukan persetubuhan wati'e syubhah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI